Wings - Bunkface Gabung Dalam Konsert Laksamana Metal 2019


Kumpulan lagenda rock, Wings bersama kumpulan darah muda, Bunkface


By Syafiqah Azman

Bukan calang-calang gabungan ni. Sekali lihat macam tidak percaya kumpulan lagenda rock terkenal, Wings bakal bergabung bersama kumpulan darah muda, Bunkface di Konsert Laksamana Metal 2019. 

Menurut Datuk Awie selaku wakil kumpulan Wings dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, konsert yang bakal diadakan ini merupakan satu perancangan ‘Journey to 2020’ atau boleh kita katakan sebagai sambutan ke-35 penubuhan Wings. 

Tak sangka pejam celik dah 35 tahun ya Wings ni. Hebat betul, walaupun dah tiga dekad masih lagi mantap! 

Konsert yang bakal diadakan di seluruh negara itu menjadikan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai tempat permulaan konsert mereka pada 4 Mei ini. 


“Kita jangkakan konsert yang kedua di Pulau Pinang, seterusnya di Batu Pahat dan kemudian di Jengka dan yang terakhir kita akan patah balik ke Kuala Lumpur mungkin di PWTC juga, Insha Allah,” jelas Awie. 

Apabila ditanyakan mengenai gabungan Wings dan Bunkface, Sam selaku wakil dari Bunkface menyatakan dia sendiri tidak menyangka akan hal ini dan ini merupakan satu penghormatan buat mereka kerana dapat ikut serta dalam salah satu Konsert Laksamana. 


“Kami semua berasa terharu kerana diberi peluang untuk membuat persembahan bersama kumpulan Wings. Siapa pun dekat Malaysia ni kalau diberi peluang sebegini tidak akan tolak,” jelas Sam, vokalis Bunkface. 

Mengenai pemilihan Konsert Laksamana Metal 2019 sebagai tajuk konsert, Awie menjelaskan, genre rock dan metal sebetulnya tidak lari jauh sangat. Penggunaan Melatal hanyalah sekadar istilah. 

"Tentang perkataan Laksamana pula, kami memilih nama itu kerana mahu mengangkat martabat kedua-dua kumpulan muzik ini di tahap yang setinggi laksamana. Kalau tidak tak angkat, siapa lagi," kata Awie. 

Mesti anda semua terbayangkan macam mana Bunkface dan Wings akan bersama dalam konsert itu nanti? Mungkin mereka akan bernyanyi bersama atau Bunkface akan menyanyikan lagu-lagu Wings seperti Sejati? Ha yang ni kena tunggu la! Bikin ‘surprise’! 

Apa yang menariknya konsert ini adalah penjualan tiket yang hanya dijual secara manual dan bukan atas talian atau menerusi agen-agen tiket. 

“Saya dah serik dengan penjualan tiket secara ‘online’ atau agen jadi kita pergi cara lama iaitu secara manual dan tiket akan dijual empat hari sebelum konsert diadakan,” tambah Awie. 

Mesti ramai fikir, tak susah ke, leceh la manual ni, ha jangan khuatir kerana ada dua cara untuk membeli tiket iaitu secara tempahan atau pembelian terus di kaunter Dewan Merdeka, PWTC pada 1 Mei sehingga 4 Mei.  

Bagi cara tempahan, anda boleh membuat tempahan dengan agen Sayap-sayap Wings yang ada semasa jelajah konvoi motosikal di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia nanti. Nak tahu senarai tempat, jangan lupa pergi ke Instagram dan Facebook mereka.

Wings buat konvoi motosikal weh nanti, confirm  gempak dapat jumpa sendiri lagenda kita, Awie, Sham, Black, Eddie dan Edrie Hashim! Tak sabar! 

Harga tiket bermula dari RM150 (berdiri) dan RM450 (duduk) dan dapat menyaksikan soundcheck iaitu sehari sebelum konsert. 


Jadi, jangan ketinggalan untuk mengikuti segala perkembangan di laman sosial rasmi mereka iaitu, Instagram dan Facebook! Dan sedia sedia untuk melihat gabungan hebat dan luar biasa dari mereka berdua!