Awi Rafael Tarik Diri Kahwin Bersama Atikah Suhaime


Awi Rafael & Atikah Suhaime tak jadi kahwin


By Syafiqah Azman

Penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan membuat pengumuman penarikan diri daripada berkahwin dengan kekasihnya, Atikah Suhaime yang juga seorang pelakon Malaysia. 

Menerusi laman sosial Instagram, Awi, 33, memuat naik satu video menjelaskan penarikan dirinya dalam majlis perkahwinan tersebut yang sepatutnya diadakan pada Ahad ini, 17 Mac. 


“Saya ingin mengucapkan dan memaklumkan bahawa Awi dan keluarga Awi tarik diri daripada perkahwinan bersama dengan Atikah pada tahun ini,” katanya menerusi video tersebut. 

Tambah penyanyi tersebut, ada banyak perkara yang harus diselesaikan mengenai hubungan mereka semenjak awal lagi namun hanya pada  saat-saat akhir barulah pihaknya mengetahui akan  hal sebenar. 

Tidak menceritakan hal sebenar  yang berlaku di sebalik hubungannya bersama Atikah, penyanyi lagu ‘Kalau Aku Kaya’ itu menyatakan bahawa dia dan keluarganya memerlukan sedikit waktu untuk menangani dugaan ini. 


“Awi harap kawan-kawan semua akan faham, dahlah Awi pun tak mahu buka aib sesiapa,” tulisnya di ruangan kapsyen video terbabit. 

“Terima kasih kepada rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan jangan risau saya akan bayar balik tiket penerbangan ke Singapura kepada mereka semua. Dan kepada penaja saya, makanan dan kek semuanya kita akan mendermakan ke rumah anak yatim,” tambah Awi lagi. 

Siapa yang tak luluh hatinya kan bila mana segala persiapan sudah pun siap dan lagi beberapa sahaja hari perkahwinan terjadi perkara yang tidak sepatutnya. Semoga pihak Awi dan Atikah tabah menerima dugaan ini. 

Namun mungkin ini adalah jalan terbaik buat Awi dan juga Atikah kerana jodoh dan pertemuan adalah di tangan Allah SWT. Siapalah kita yang ingin menidakkan ketentuan-Nya. 

Apa-apa pun harap kedua-dua belah pihak dapat berbincang dengan baik dan kepada mereka di luar sana doa yang baik-baik.