Soul Sisters Ada Kejutan Buat Peminat?


Soul Sisters bersama Edd Razhe (Pengarah Urusan), Datuk Syafinaz (Pengarah Vokal) serta penyanyi latar Konsert Soul Sisters 2019


By Syafiqah Azman

Tiga lagenda wanita dalam dunia muzik hiburan bakal menggegarkan Istana Budaya pada April ini! Gabungan hebat dari Misha Omar, Siti Sarah Raissudin dan Noryn Aziz yang digelar ‘Soul Sisters’ ini ternyata telah mengangkat martabat dan nama wanita dalam industri seni.

Ada gaya macam kumpulan superhero wanita yang boleh gegarkan pentas tak? Ha bayangkan gabungan suara dari mereka bertiga ni, confirm lepas balik tonton persembahan mereka tak boleh tidur. Sebab masih terngiang-ngiang suara mereka bertiga. 


Seperti mana yang kita ketahui, Konsert Soul Sisters 2019 yang bakal diadakan di Istana Budaya pada 5 & 6 April ini akan membawakan lagu-lagu istimewa dari ketiga-tiga penyanyi hebat tersebut selama dua jam. Dua jam beb, bayangkan! 

Malah, buat julung-julung kalinya, konsert ini merupakan salah satu konsert yang mengetengahkan ketiga-tiga penyanyi sekaligus. 

Ketika majlis sidang media yang diadakan semalam di DoubleTree Hilton Hotel, Kuala Lumpur, Pengarah Vokal iaitu Datuk Syafinaz Selamat menjelaskan bahawa istimewanya konsert kali ini adalah ia bukanlah tertumpu kepada seorang penyanyi sahaja kerana nama ‘Soul Sisters’ itu sendiri membawa makna. 


“Sebab nama konsert ini adalah ‘Soul Sisters’ jadi boleh dikatakan 65 peratus dari persembahan akan membawakan mereka bertiga menyanyikan lagu bersama-sama dan saya sendiri akan memastikan vokal ketiga-tiga adalah sama rata kerana saya tidak mahu mereka ‘overshine’ each other,” jelas Datuk Syafinaz Selamat yang merupakan Pengarah Vokal.

Ha ingat senang ke nak pastikan ketiga-tiga penyanyi hebat serta mempunyai vokal unik yang masing-masing untuk melakukan persembahan di pentas yang sama? Ia memerlukan satu guru vokal yang mahir dan mantap seperti Syafinaz sendiri.

Bukan itu sahaja, malah pada sidang media tersebut, Produser eksekutif konsert dan Pengarah Urusan ERE, Edd Razhe memberikan satu kejutan dengan mengadakan satu segmen khusus iaitu ‘tribute’ bagi kumpulan Feminin. 

Siapa ingat lagi kumpulan Feminin yang pernah mewarnai dunia hiburan muzik satu ketika dahulu bersama dengan Elite? Kalau ingat balik lagu Feminin, automatik nak menari beb! 


Bayangkan Misha, Siti Sarah dan Noryn nyanyikan lagu Feminin yang sudah digubah oleh Sze Wan. Mungkin mereka bertiga akan menari macam Feminin? Siapa tahu kan, ha kalau nak tahu kenalah pergi tonton! 

Memang jujur rasa tak sabar nak lihat trio ‘Soul Sisters’ mengegarkan pentas Istana Budaya April ini. Harap pihak Istana Budaya jangan marah la ya kalau ada penonton yang tiba-tiba bangun menari dalam dewan tu. 

Bagi mereka yang ingin dapatkan tiket Konsert Soul Sisters, anda boleh layari ke www.airasiaredtix.com dan dapatkan segera sebelum terlambat!