“Tak ada rezeki kahwin, Allah ada rancangan lebih baik” – Atikah Suhaime


Atikah Suhaime luah perasaan sedihnya apabila majlis perkahwinan terpaksa dibatalkan


By Syafiqah Azman

Pasti ramai yang tertanya mengenai kisah Awi Rafael menarik diri dalam majlis perkahwinannya bersama seorang pelakon jelita. Dan pasti juga ramai yang menanti jawapan daripada pelakon tersebut iaitu Atikah Suhaime. 

Menerusi Instagram, pelakon bagi drama Cinta Tiada Ganti itu memuat naik satu gambar bersama dengan bekas tunangnya, Awi dan menyatakan dia telah kehilangan orang tersayang dalam hidupnya. 


“Dengan rasa berat hati, saya ingin menyampaikan bahawa majlis perkahwinan kami pada Ahad ini dibatalkan,” tulisnya di kapsyen. 

Tambah Atikah lagi, dia berterima kasih kepada Awi kerana telah menjaganya dengan baik sepanjang dia menjadi tunangan Awi dan berharap mereka boleh mengekalkan hubungan mereka sebagai teman rapat. 

“Tak ada rezeki. Mungkin Allah ada perancangan lain dan terbaik buat kami. Walaupun sukar untuk menerima perkara sebegini, saya terpaksa juga terima.” 


Apa yang menjadikan Atikah terkilan apabila hari ini merupakan hari lahirnya yang ke-28 dan dia sendiri sengaja memilih tarikh perkahwinan berdekatan dengan hari lahirnya untuk menjadikan ia lebih istimewa.

Tapi apakan daya, kita hanya merancang tapi Allah SWT yang menentukannya. Betul tak? 


Di ruangan Instagram story miliknya, Atikah berkongsi beberapa foto pakaian perkahwinan yang sepatutnya dipakai ketika majlis raja sehari mereka Ahad ini. 

Tidak dinafikan, ketiga-tiga pakaian raja sehari yang dipakai oleh Atikah memang kelihatan anggun di tubuh badannya. Sayang seribu kali sayang, pakaian tersebut tidak akan dipakai pada Ahad ini. 

Terdahulu, Awi Rafael telah memuat naik satu video mengumumkan penarikan dirinya dalam majlis perkahwinan yang bakal berlangsung di Singapura Ahad ini. 

Kita doakan sahaja yang terbaik buat mereka berdua, Insha Allah.