Bagai Sireh Pulang Ke Gagang, Konsert Siti Tetap Macam 20 Tahun Lalu!


Datuk Sri Siti Nurhaliza on Tour 2019


By Syafiqah Azman

Hampir 20 tahun lamanya penyanyi Datuk Sri Siti Nurhaliza tidak menjayakan sebarang konsert solo yang berskala besar. Konsert solo berskala besar yang pernah dijayakannya dahulu adalah pada tahun 1999 di waktu usianya mencecah 19 tahun. 

Bayangkan setelah 20 tahun dia kembali dengan Konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019 yang telah berlangsung di Stadium Axiata Arena Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. 

Pada usia 40 tahun, tenaganya masih sama seperti mana usianya 19 tahun. Vokalnya juga tidak banyak berubah. Malah, masih mampu mengawal suara dengan baik. Dia juga masih mampu menari dan berdansa dengan baik, sama ada menerusi lagu pop mahu pun tradisional. 

Semuanya ini dilakukan dengan suksesnya sepanjang tempoh 2 jam konsert ini berlangsung dan mujurlah lagu-lagunya masih kekal relevan di kalangan fans tegar lama dan baru. 

Membuka konsert dengan rangkaian lagu tradisional hit seperti Badarsila, Joget Berhibur dan Joget Kasih Tak Sudah, Siti Nurhaliza benar-benar mengimbau era zaman kegemilangan lagu-lagu pop etnik yang ketika itu masih rancak bernafas di dalam industri muzik tempatan. 

Dia adalah salah seorang di antara penyanyi pop yang turut merakamkan lagu irama Pop Tradisional dan muncullah lagu-lagu pop tradisional yang hebat seperti Cindai, Balqis, Nirmala, Hati Kama ciptaan Allahyarham Pak Ngah. 

Sudah semestinya kematian komposer Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain pada tanggal 25 September 2018 turut dirasai Siti. Tanpa Pak Ngah tidak mungkin wujud lagu-lagu pop tradisional yang hebat ini. 

Maka wajar sekali, Siti memberikan tribute buat Pak Ngah menerusi keempat-empat lagu tersebut. Cindai, Balqis dan Nirmala adalah lagu nyanyian solo Siti, manakala Hati Kama adalah lagu duetnya bersama Noraniza Idris dan di dalam konsert itu, Siti menyanyikannya secara solo. 



Ia suatu momen menarik buat fans tegar yang membesar bersama Siti. Lebih-lebih lagi apabila dia turut mengenakan pakaian tradisional yang cukup berat dan sarat di tubuhnya. Menyanyi dan menari sambil mengenakan pakaian tradisional tersebut? Tak mudah...Ia memerlukan stamina yang tinggi. Tabik hormat buat Tokti....

Pada malam tersebut juga, Siti turut mendendahkan memori ketika konsert pertamanya diadakan 20 tahun yang lalu di waktu usianya mencecah 19 tahun pada 1999. 

“Konsert pertama saya diadakan pada 1999, 20 tahun yang lalu, di lokasi yang sama iaitu di Axiata Arena ini dan pada waktu itu namanya adalah Stadium Putra Bukit Jalil,” ujar penyanyi tersohor negara itu. 

Ibarat sireh pulang ke gagang. Mungkin itulah yang dirasakan Siti ketika beraksi di pentas stadium itu semula bersama fans tegar yang turut membesar bersamanya dan seperti Siti, mereka juga mungkin sudah memiliki kerjaya yang baik, sudah berumahtangga dan berkeluarga. 



Dalam konsert itu, Siti Nurhaliza turut menyanyikan lagu khas buat anaknya, Siti Aafiyah, Comel Pipi Merah serta Jaga Dia Untukku yang dikhususkan buat suaminya, Datuk K. Lagu-lagu hits seperti Jerat Percintaan dan Bukan Cinta Biasa turut dipersembahkan. 

Beliau juga turut menyanyikan lagu duet Seindah Biasa bersama penyanyi terkenal Indonesia, Tulus. Memang waktu ini Siti kelihatan hebat dan ‘amazing’ kerana beliau telah menyanyi sambil merakamkan detik indah itu di telefon pintar Oppo miliknya.  Siap tarik suara sambil pegang telefon beb! Cool habis! 

Pada malam penuh dengan kemegahan ini, beliau mengambil kesempatan berkongsikan rasa bersyukur kerana dikurniakan orang-orang istimewa dan penting dalam hidupnya yang turut memainkan peranan terhadap kejayaannya selama ini. 

Penghibur nombor satu negara ini telah menutup tirai dengan menyanyikan salah satu lagu hitnya iaitu, Bersandar Cinta dan mengucapkan rasa terima kasihnya yang tidak terhingga kepada mereka yang telah menjayakan konsert ini iaitu Shiraz Projects. 

Konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019 sebelum ini telah diadakan di Jakarta, Indonesia dan Singapura. Kuala Lumpur telah menjadi lokasi terakhir konsert jelajah ini.