Patut ke tidak PUBG diharamkan?


Timbul kerisauan terhadap ketagihan bermain PUBG - Gambar Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Sejak belakangan ini, banyak kita dengar kes-kes yang melibatkan ketagihan permainan elektronik yang berunsurkan tembak menembak, peperangan dan macam-macam lagi keganasan.

Antaranya permainan elektronik yang cukup terkenal ialah Player Unknown's Battlegrounds (PUBG), Fortnite, Dota, Mobile Legends, Apex Legends dan bermacam lagi.

Permainan-permainan ini menjadi kegilaan ramai sehingga diangkat tarafnya sehingga diiktiraf di dalam kejohanan e-sport. 

Kegilaan terhadap permainan-permainan ini sehingga menimbul ketagihan turut melanda Malaysia. 

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pemain e-sukan atau ‘gamers’ di Malaysia wajar diberi perhatian melalui penyediaan fasiliti sewajarnya demi memajukan sukan itu sendiri.

Tidak dinafikan permainan-permainan elektronik ini memang bukan sekadar membuang masa, malahan dapat meningkatkan skil dan membuka peluang kepada pemain ke arah satu lagi bidang kerjaya.

Namun, setiap yang berlebih-lebihan pasti ada keburukannya.  Begitu juga dengan ketagihan bermain permainan elektronik ini.

Banyak iktibar yang boleh diambil terhadap kesan buruk akibat ketagihan yang melampau terhadap permainan elektronik ini.

Antaranya kes yang baru-baru terjadi tragedi penembakan di dua buah masjid di Cristchurh, New Zealand yang mengakibatkan 50 kematian.

Dikatakan pengganas tersebut meniru gaya karakter dalam permainan First Person Shooter yang ada unsur-unsur tembak menembak.

Seorang kanak-kanak lelaki di China mati gara-gara terjun dari tingkat empat bangunan rumahnya kerana ingin mengikut karakter dalam permainan yang terjun dari bangunan ke bangunan.

Ada juga terminum asid ketika sedang asyik bermain permainan PUBG kerana tidak menyedari isi kandungan sebenar air minuman tersebut. 

Baca: PUBG addiction turns acidic

Baru-baru ini Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusuf Ahmad menggesa kerajaan supaya  mengharamkan PUBG kerana ia nyata sekali mempengaruhi sikap dan minda pemain untuk melakukan keganasan.

Kenyataan beliau telah menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak.

Melisa Natasya Rahman, 24, yang juga seorang pemain alat permainan elektronik inisama sekali  tidak bersetuju sekiranya permainan elektronik seperti PUBG diharamkan.

"Pemain seharusnya bijak untuk tidak terpengaruh dengan aksi-aksi yang dipaparkan dalam video game. Ketagihan kepada permainan sebenarnya bergantung kepada diri sendiri. Pemain harus pandai membahagikan masa agar tidak keterlaluan dalam bermain game. Banyak lagi benda boleh buat," ujarnya.

Muhammad Hafiz Ruzaini, 22, seorang pemain PUBG juga mempunyai pendapat yang sama dengan Melisa. 

"Bagi saya tak patutlah nak haramkan. Sebab kita nak main je, bukan nak bunuh siapa-siapa pun. Orang kata sekadar hiburan. Tapi pandai-pandailah kita kawal diri kita.

"Kalau mak suruh pergi kedai, kita pergi kedai. Kalau masa untuk buat assignment, kita buatlah assignment. Sikap sendiri sebenarnya kena ubah," ujar Hafiz. 

Hafiz juga berkongsi satu kisah yang telah memberi pengajaran yang besar dalam dirinya.

"Saya dulu seorang yang fanatik gila dalam PUBG ni. Boleh dikatakan ketagihlah. Satu hari, dalam asyik saya main PUBG ketika sedang berjalan, saya dilanggar oleh seorang penunggang motosikal. Masa tu saya nak lintas jalan, saya tak dengar dia hon sebab pakai headphone.

"Nasib baik saya tak mati, saya cuma cedera di bahagian kaki. Sejak itu saya insaf. Main tu tetap main, tapi saya kawal tahap ketagihan saya kerana sememangnya mengundang bahaya!," tambahnya.


Ahmat Buang, 56, seorang bapa kepada seorang pemain PUBG berkata kerajaan wajar untuk memikirkan tentang pengharaman PUBG ini.

"Bukan saja mereka boleh terikut-ikut aksi ganas dalam tu, malah kerja sekolah tak buat, ibu bapa ajar berbual tak nak, seolah-olah anak saya dah macam orang lain dekat rumah ni. Memang kerajaan patut pertimbangkan isu pengharaman tu," ujarnya. 

Solihan Ridzuan, 45,  pula berkata, ibu bapa perlu campur tangan dalam menyelesaikan isu ketagihan, bukannya terus meminta ia diharamkan.

"Bagi saya, kita sebagai ibu bapa, seharusnya kita mengawal gerak geri anak-anak kita supaya tidak terlalu ketagihan. Kalau nak cakap pasal ketagih, apa-apa pun kita boleh ketagih, bukan sekadar PUBG je," ujarnya.

World Health Organisation (WHO) pada 2018 telah mengisytiharkan ketagihan permainan elektronik sebagai gangguan kesihatan mental.

Ketagihan ini mampu meningkatkan tahap kemurungan dan kebimbangan pemain. Ketagihan melampau ini bukan sahaja menyebabkan khusyuk dengan permainan itu sahaja, bahkan ia dapat menjejaskan kesihatan pemain. 

Mana tidaknya, tidur entah kemana, makan entah ke mana, bersenam apa lagi? Bukan itu saja, hubungan silaturrahim antara keluarga dan rakan-rakan turut terjejas.

Walau bagaimanapun, setiap orang lain bertindak balas dengan cara yang berbeza. Ada yang dapat mengawal, ada yang tidak.

Kesimpulannya, bukan sahaja pemain tetapi semua orang perlu mengambil iktibar tentang apa yang terjadi. Jadikanlah kes-kes lalu sebagai pengajaran agar kita tidak mengulanginya.