7 Tahun Merana Akibat Dadah & Alkohol, Demi Lovato Kongsi Pengalaman


Demi Lovato kongsi pengalaman ketagihan dadah dan juga alkohol


By Syafiqah Azman

Penyanyi dan penulis terkenal Hollywood, Demi Lovato baru-baru ini telah berkongsi perjalanan yang dilalui sepanjang tujuh tahun dalam hidupnya menangani masalah ketagihan dadah dan alkohol di laman media sosial Instagram miliknya. 

Menerusi ruangan Instagram story, Demi Lovato atau nama sebenarnya Demetria Devonne Lovato, 26, kelahiran New Mexico memberikan nasihat serta menawarkan bantuan kepada pengikut atau peminatnya yang mengalami masalah sepertinya. 


“Hari ini merupakan genap 7 tahun saya kembali pulih. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang telah saya lakukan kerana sebagai manusia, semua orang tidak lepas lari daripada melakukan kesilapan,” tulisnya di ruangan Instagram story.   

Tambahnya, kepada mereka di luar sana yang mengalami perkara yang sama, usah rasa takut untuk mendapatkan sebarang bantuan. 

“Tidak mustahil buat anda untuk pulih, fikir ke hadapan dan jangan takut.” 

“Jika anda masih bernafas hari ini, anda boleh lakukannya. Hidup anda berharga,” katanya menerusi entri tersebut. 

Pada tahun 2018, Demi mengambil keputusan dengan memasuki pusat pemulihan kerana pengambilan dadah dan alkohol secara berlebihan sehingga mengakibatkannya hampir kehilangan nyawa. 

Penyanyi bagi lagu Sober itu telah mengalami beberapa masalah kesihatan seperti kemurungan, bulimia dan juga gangguan bipolar sejak beberapa tahun yang lalu. 

Rata-rata peminatnya meluahkan rasa bangga dengan sikap keterbukaan Demi tentang salah satu detik hitam dalam hidupnya dan memberikan kata-kata semangat buat penyanyi kesayangan mereka.  

Kepada mereka di luar sana yang mengalami masalah yang sama, jangan malu dan takut untuk mendapatkan bantuan. Anda boleh pergi ke laman sesawang, Befrienders atau telefon hotline mereka di 603-79568145.