Coretan Siti Nurhaliza Buat Puterinya, Siti Aafiyah Bikin Ramai Sebak


Siti Nurhaliza tulis ucapan khas khusus buat kelahiran setahun puterinya, Siti Aafiyah


By Syafiqah Azman

Memang menjadi impian wanita dan para ibu di luar sana untuk mendapatkan cahaya mata pabila sudah berkahwin. Benar bukan? Sama juga seperti penghibur nombor satu negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza. 

Setelah hampir 12 tahun menunggu kehadiran penyeri rumah tangganya, pada tanggal 19 Mac tahun lalu, seorang sang puteri telah selamat dilahirkan dan diberi nama Siti Aafiyah. 

Berita gembira itu ternyata menjadi tumpuan akhbar dan juga peminat kerana setelah kian lama menunggu, akhirnya bahagia yang diidam-idamkan buat Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid sudah dijawab oleh Sang Pencipta. 


Menerusi Instagram, Siti Nurhaliza telah berkongsi satu ucapan ataupun coretan buat puterinya, Siti Aafiyah di atas sambutan hari lahir setahunnya hari ini. 

“Setahun yang lalu, pada tarikh yang sama, permata hati ayah ibu iaitu Siti Aafiya Khalid dilahirkan. Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui betapa syukurnya ibu, ayah serta semua yang mendoakan ibu selama ini,” tulis Siti Nurhaliza di ruangan kapsyen. 

Tambahnya lagi, menanti detik-detik kelahiran puteri sulungnya memang ternyata memerlukan satu kesabaran yang tinggi. 

Tidak dinafikan sebelum ini, Siti Nurhaliza mengakui bahawa dia pernah menjalani rawatan kesuburan ‘In Vitro Fertilization (IVF)’ sebanyak tiga kali sepanjang tempoh perkahwinannya sebelum berjaya mendapatkan Siti Aafiyah. 


Menerusi entri yang sama, Siti Nurhaliza turut mendoakan semoga puterinya menjadi anak yang solehah, baik budi, sopan, berilmu dan juga semua yang baik-baik buat dirinya yang baru sahaja genap berusia setahun itu. 

“Semakin dikau membesar, semakin banyak ibu lihat diri ibu pada mu, tak kurang ada juga senyuman nakal dan perangai ayah pada dirimu,” tambah Siti lagi. 

Benar, ramai juga yang menyatakan bahawa senyuman milik Aafiyah kelihatan serupa dengan bapanya, Datuk Khalid. Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bukan? Semoga Aafiyah menjadi insan yang disayangi dan baik budi pekerti, Insha Allah. 

Rata-rata di ruangan komen, netizen meluahkan perasaan sebak membaca coretan yang ditulis oleh Siti Nurhaliza itu. 


Mana tidaknya, penuh dengan doa-doa yang baik dan ramai juga teringat kembali pada momen dahulu apabila penyanyi kesayangan negara itu mengalami kesukaran untuk mengandung dan juga pernah mengalami keguguran pada tahun 2015. 

Ibu mana yang tidak sebak bila fikirkan detik sebegitu ya tak? Alhamdulilah kini puterinya itu menambahkan lagi seri dalam keluarga bahagia Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid. 

Pada Ahad yang lalu, satu majlis ulang tahun 'Siti Aafiyah Turns 1' telah diadakan di Royale Chulan, Kuala Lumpur dan dihadiri rakan-rakan artis seperti Fouziah Ghous, Jihan Muse, Amyra Rosli, Rozita Che Wan, Fara Fauzana dan juga Sharifah Shahirah. 


Buat Siti Aafiyah, selamat ulangtahun yang ke-1 dan semoga diberikan kesejahteraan serta kesihatan yang baik dariNya. Kepada ibu-ibu di luar sana yang masih lagi menanti, jangan mudah putus asa dan semoga dipermudahkan segalanya.