Ketahui kisah ibu muda berstatus OKU


Bayi yang dilahirkan ibu muda itu - Gambar daripada FB Baitus Solehah


By Nadhirah Sofea Rashid

Bagaikan sudah jatuh, ditimpa tangga. Itulah ungkapan yang sesuai buat seorang gadis OKU berusia 14 tahun yang melahirkan seorang bayi pada Mac 15 lalu.

Kisah ini dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, Mak Liza di FB Baitus Solehah semalam (Mac 19) dan telah menyentuh hati ramai netizen.

Baitus Solehah merupakan sebuah rumah perlindungan buat gadis-gadis yang terlanjur. 

Menurut Mak Liza, ibu muda tersebut mempunyai latar belakang yang memilukan.

Gadis itu tidak lagi mempunyai ibu bapa sejak kecil.

Ibunya meninggal dunia ketika melahirkanya, bapanya meninggal dunia ketika gadis tersebut berusia tiga tahun.

Dia kemudian tinggal bersama mak angkatnya.

"Ketika mula-mula datang ke Baitus Solehah, sewaktu kandungannya 4 bulan, ibu muda ini pertama kali berjauhan dengan emak angkatnya. Kerjanya tak ada lain, menangis siang malam, "nak ibu, nak ibu".

"Ada kucing bukan peliharaan kami datang menumpang teduh. Setiap kali menangis nak ibu, saya suruh peluk kucing. Dipangku kucing dan dibelainya. Baru berhenti tangisan," tulis Mak Liza.

Menurutnya, gadis ini bertubuh kecil seperti kanak-kanak darjah enam dan akal kecerdasannya seperti umur sembilan tahun.

Pembaca dapat bayangkan tak bagaimana peritnya kesusahan yang dialami oleh gadis ini?

Hari berganti hari, kini gadis tersebut telah pun selamat melahirkan seorang bayi.

"Malam semalam baru discaj wad, dan pulang ke rumah. Pandai dia menyusukan anak sendiri. Pandai mandikan anak. Semua dipantau dan diperhatikan.

"Semasa mendaftar ke rumah ini dia mahu berikan anak ini kepada orang lain. Sekarang ni bila lihat wajah anak yang comel dan mulus, " saya nak jaga anak saya," tulis Mak Liza.


Rata-rata netizen meluahkan perasan hiba dan sedih serta mahukan pelaku yang menganiaya gadis ini untuk bertaubat dan dibawa ke muka pengadilan.




Ada juga yang mendoakan agar ibu muda ini dilindungi Tuhan.



Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Youth Connect mendoakan agar ibu muda ini terus tabah dalam meneruskan kehidupan yang akan datang. 

Penghargaan juga diberi kepada rumah Baitus Solehah kerana menjaga gadis tersebut dengan baik.