Single Ayda Jebat, Mana Ada Hati Akan Masuk Pasaran Indonesia?


Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat


By Syafiqah Azman

Siapa sangka penyanyi yang sering membawakan lagu ceria dan penuh dengan muzik rancak ini mampu membawakan satu muzik bergenre balada. Single terbaru daripada Ayda Jebat berjudul Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) ini merupakan single pertamanya yang menampilkan genre tersebut. 

Penyanyi dan juga pelakon ini, mengeluarkan single terbarunya pada Ahad, 17 Mac yang lalu bersempena dengan ulangtahunnya yang  ke-27 dan difahamkan ini merupakan hadiah Ayda buat peminat. 



Eh macam terbalik pula, selebriti bagi hadiah buat peminat? Nampak tak betapa sayangnya Ayda kepada peminatnya yang lebih dikenali dengan panggilan Ayda Jebat Screamer (AJS). 

Tetapi anda semua perasan atau tidak, single terbarunya ini lain daripada yang lain? Kalau dibandingkan dengan single Temberang, memang macam langit dan bumi! 

Kali ini, apa yang menarik adalah, Ayda sekali lagi mempercayai kebolehan komposer Indonesia, Irwan Simanjutak untuk menghasilkan lagu Mana Ada Hati buatnya. 

Seperti yang ramai tahu, sebelum ini Ayda pernah bekerjasama dengan Irwan dalam menghasilkan single Nakal Nakal Nakal pada tahun 2016 dan Irwan juga merupakan komposer bagi lagu Pencuri Hati. 

Jadi tidak hairanlah jika Ayda sekali lagi memilih Irwan untuk  turut terlibat dalam penghasilan album baharu penyanyi ayu itu kerana mereka berdua selesa bekerja bersama. 

Kalau anda perasan perkataan ‘terus’ dalam lagu ini dijadikan sebagai ‘trus’, ha kenapa ya? 

Menurut Eksekutif Produser XENO Music, Prashan Chitty atau lebih dikenali dengan Melakaboy, single terbaru Ayda ini mempunyai potensi untuk menembusi pasaran Indonesia jadi disebabkan itu mereka membuat keputusan untuk menggunakan sedikit kata-kata Indonesia di dalam single tersebut. 

“Kami memang memilih untuk tidak menulis lagu tersebut sepenuhnya dalam Bahasa Melayu kerana Irwan sebagai komposer percaya akan kebolehan lagu ini untuk menembusi sehingga ke Indonesia. 

“Mengenai tajuk single, ia mengambil masa yang lama bagi pihak kami mempertimbangkan tajuk sebegitu panjang, namun tiada lagi tajuk yang dapat membawa maksud sedalam itu seperti mana tajuk sekarang,” jelasnya ketika ditemu ramah oleh team Youth Connect.
 
Susah juga ya nak fikirkan tajuk lagu? Sebab kadang-kadang tajuk itu yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan single sesetengah penyanyi. Betul tak? 


Apa yang lebih menarik adalah single terbaru Ayda, Mana Ada Hati turut terpilih untuk menghiasi drama, Asalkan Dia Bahagia melalui slot Akasia TV3 yang dibintangi oleh Ayda dan juga Shukri Yahya sebagai lagu runut bunyi (OST). 

Manakala, muzik video Mana Ada Hati yang baru dimuat naik tiga hari lalu di platform Youtube sudah berjaya meraih 524,000 penonton! Baru tiga hari tau! 

Rata-rata netizen memberikan komen dengan memuji penyanyi comel dan ayu tersebut kerana tidak pernah berputus asa  untuk meneruskan kerjaya nyanyiannya walaupun menerima banyak kecaman. 




Sesetengah fans pula mendakwa bahawa single terbaru Ayda ini telah menukar pandangan mereka  terhadap Ayda. Selama ini Ayda hanya dikenali dengan lagu-lagu yang fast dengan lagu yang ‘fun’ dan penuh dengan jiwa gembira serta warna warni. Lihat sahaja single Temberang ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang meletup tu. Lain bukan?

Tiba-tiba dia menyanyikan lagu balada cinta yang penuh emosi. Bezakan? Fans sama sekali tidak  menyangka akan kebolehan Ayda membawa genre balada dan bukan setakat itu sahaja, mereka juga akui bahawa  Ayda mampu menyampaikan lagu itu dengan baik sekali. 

Jangan pandang Ayda sebelah mata sahaja ya! 



Ada juga yang menyatakan bahawa lagu tersebut benar-benar membuatkan pendengar merasai  emosi yang cuba Ayda sampaikan menerusi lagu itu. Memang feel habis! Boleh sampai menangis… 

Difahamkan Ayda kini sedang sibuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta hanya untuk menyiapkan album baharunya itu. Usaha dan kegigihan Ayda ternyata jelas dan ia tidak lain tidak bukan untuk peminatnya di luar sana. 

Apa pun, tahniah buat Ayda kerana berjaya membuktikan bahawa dirinya bukan sahaja bisa membawa lagu tempo rancak malah balada juga. Semoga terus sukses dalam industri hiburan tanah air!