Keputusan iktiraf UEC atau tidak diketahui Julai ini


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek - Gambar Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Keputusan mengenai pengiktirafan sijil United Eximination Certificate (UEC) hanya akan dibuat pada Julai ini.

Menterinya Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata banyak aspek perlu diambil kira dan kerajaan tidak boleh membuat keputusan terburu-buru.  

Kerajaan telah pun menubuhkan Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) sebagai satu usaha kerajaan untuk meneliti dan mengkaji isu pengiktirafan UEC dengan lebih mendalam.

Laporan PPDUEC akan dikemukakan pada Kabinet pada Julai ini untuk membuat keputusaan sama ada sijil tersebut perlu diiktiraf atau tidak.

“Garis masa pasukan ini mengkaji isu pengiktirafan UEC adalah dari bulan Oktober lalu hingga Julai ini. Selepas itu satu laporan akan dibuat dan saya akan bawa kepada Kabinet untuk buat keputusan .

“Hasil maklum balas mengenai pengiktirafan UEC akan dirumuskan dan syor-syor akan dirangka dan diangkat kepada saya untuk dipertimbangkan dan dikemukakan kepada Kabinet.

"Kita perlu lihat isu ini melangkaui isu kaum dan pendidikan,” kata Maszlee.

PPDUEC diketuai oleh Eddin Khoo Bu Eng, seorang penulis, wartawan dan juga pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Malaysia, Mohammad Raimi Ab Rahim, peguam dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia dan Datuk Tan Yiew Sing, Timbalan Presiden Dong-Zong dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China.

Eddin berkata dalam tempoh enam bulan, sebanyak 46 perbincangan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik daripada Umno dan Pas telah dirakam. 

“Kita merupakan perantaraan antara masyarakat dan kerajaan. Kita memandang serius terhadap semua pandangan termasuklah daripada pakar pendidikan, ibu bapa, anak muda, tidak kiralah sama ada mereka menolak atau mahukan UEC,” ujar pengerusi PPDUEC itu.

Jelas beliau lagi, pasukan itu juga membuat penelitian dokumen seperti artikel dan penulisan daripada pelbagai media termasuk media sosial berkaitan UEC.

“Kita juga telah melakukan lawatan kerja merangkumi temu bual dengan kumpulan fokus, dengan pihak berkepentingan mengikut zon termasuk lawatan kerja ke Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan UEC.

“Selepas ini kita akan ke Sabah dan Sarawak untuk bertemu dengan kumpulan ibu bapa, anak muda dan pihak pemegang taruh,” katanya pada sidang media hari ini. 

Eddin juga berkata isu ini sering terperangkap dalam spekulasi. 

“Kita mahu semua pihak tangani isu ini secara ilmiah. Tidak sepatutnya isu ini dikaitkan dengan isu perkauman, ini adalah isu nasional sebenarnya,” tambah Eddin.

Antara cabaran yang PPDUEC hadapi ialah persepsi yang tidak benar. 

“Cabaran kita dalam melakukan kajian ini adalah sebenarnya tentang spekulasi dan persepsi yang tiada fakta. 

“Oleh yang demikian, kami tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. Kami ditubuhkan bertujuan untuk mendapatkan fakta, statistik dan segala butir yang perlu kami peroleh" ujar Raimi pula.