Puisi Indie pilihan anak muda masa kini


Buku-buku puisi indie - Gambar Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Puisi sering dikaitkan dengan keindahan bait-bait bahasanya. Puisi dijadikan hiburan pada zaman datuk nenek kita yang terdahulu. Mereka sering berkumpul dan menyampaikan puisi sehingga modenisasi tercetus. Namun, ekoran zaman yang bergerak pantas, kini masyarakat didedahkan dengan puisi indie.

Timbul persoalan, masih relevankah puisi dalam kalangan anak muda?

Muhammad Taufiq Mansor, 27, bekas ahli Kelab Pantun dan Puisi, UiTM Shah Alam percaya puisi masih diterima dalam kalangan anak muda. 

"Kalau nak cakap pasal tak relevan terhadap anak muda, puisi klasik mungkin. Tapi kalau puisi indie ni saya percaya ramai masih dapat menerima.

"Tapi saya yakin masih ramai anak muda yang menerima dan menghargai puisi-puisi klasik daripada sasterawan-sasterawan veteran seperti A. Samad Said, Usman Awang dan ramai lagi.

"Ramai juga penulis-penulis muda yang mengambil inspirasi daripada sasterawan-sasterawan veteren ," ujar Taufiq yang juga seorang yang sering mempamerkan puisinya di laman sosial.

Pada zaman moden ini, sesiapa sahaja boleh menulis. Masyarakat semakin bebas meluahkan idea dan pandangan hidup mereka dalam sesuatu isu serta lebih terbuka kepada pandangan–pandangan yang dikatakan sebagai taboo.

Ramai anak-anak muda mula mengetengahkan bakat menulis masing-masing melalui penulisan indie ini atas kemudahan teknologi yang kian berkembang.

Dengan wujudnya platform media sosial seperti Facebook, Blog, Twitter dan bermacam lagi, mereka lebih mudah untuk mengekspresikan emosi mereka dalam bentuk penulisan puisi.

"Sekarang kita boleh dapat akses kepada mana-mana puisi kerana majoriti penulis menyampaikan puisi mereka dalam bentuk digital.

"Tapi, buku belum terkubur. Kalau kita tengok dekat kedai buku, banyak buku puisi yang ditulis oleh anak muda yang pada dahulunya tidak dikenali tapi sekarang terkenal gara-gara hasil penulisan mereka," kata Taufiq. 

Namun, apa yang menyebabkan anak muda lebih tertarik dengan puisi indie ini? Taufiq berpendapat bahawa puisi indie yang dapat menarik perhatian anak muda ini adalah kerana bahasanya yang mudah difahami.

"Mereka menggunakan bahasa yang terkini. Boleh dikatakan bahasa yang digunapakai anak muda sekarang. Dengan penggunaan bahasa itu, belia yang membaca akan menjadi lebih selesa dan rasa dekat dengan penulis," katanya.

Walau bagaimanapun, menurut Taufiq, kebebasan cara menulis seolah-olah telah memperkosa keindahan bahasa.

"Akibat terlalu bebas, terdapat penulis yang menulis kata-kata kasar yang keterlaluan dalam tulisan mereka. Saya berpendapat, sebagai penulis tujuan kita adalah untuk mendidik masyarakat ke arah lebih baik. 

"Penulisan adalah satu bentuk komunikasi yang digunakan untuk mendidik dan mengubah sesuatu perkara," katanya.

Rata-rata penulis indie menulis puisi dengan gaya yang minimalis.  Ada yang hanya menulis sekadar sebaris ayat pada sekeping muka surat.

"Ada orang kata 'Puisi apa tiga baris ayat je? dan ada orang yang begitu terkesan dengan makna tiga baris ayat puisi itu. 

"Puisi adalah seni, dan seni adalah subjektif. Setiap orang berhak menilai sesebuah seni itu dengan persepsi mereka sendiri. Lain orang, lain tafsirannya," ujar Taufiq lagi.

Puisi memberi kita satu kebebasan menulis, puisi juga memberi ketenangan kepada membaca. Anak muda kini perlu mengekalkan budaya menulis dan membaca tidak kira dalam apa bentuk sekali pun. 

Selamat hari puisi!