Yuna Umum Tunda Jelajah Eropah, Album Belum Siap


Penyanyi, Yuna Zarai


By Syafiqah Azman

Penyanyi popular Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat, Yuna Zarai mengumumkan jelajah Eropahnya ‘Yuna European Tour 2019’ terpaksa ditunda sekali lagi kerana album baharunya yang masih belum siap. 

‘Yuna European Tour’ yang sepatutnya dijadualkan bermula dari 26 Mac sehingga 1 April depan terpaksa ditunda sehingga diberitahu kelak. 


Menerusi laman sosial Instagram, Yuna, 32, memuat naik satu entri dan terlebih dahulu memohon maaf atas berita penundaan jelajah Eropahnya serta menyatakan ia adalah satu keputusan yang berat untuk dilakukan. 

“Ia merupakan satu keputusan yang sukar, saya tidak mahu apa-apa kecuali untuk menjelajah  ke Eropah dan berjumpa dengan peminat, akan tetapi saya mengalami kesukaran dalam menyiapkan album yang bakal dilancarkan pada musim panas ini,” tulisnya di ruangan kapsyen. 


Penyanyi bagi lagu Crush ini, dijadualkan memulakan jelajah Eropahnya pada 26 Mac ini mengambil tempat seperti London, Amsterdam, Brussels, Paris, Lausanne dan seterusnya di Berlin pada 1 April. 

Tambah anak didik Pharell William ini, dia menyatakan bahawa albumnya kali ini merupakan salah satu album yang paling sukar dan sebagai seorang penghibur, Yuna hanya mahu lakukan yang terbaik buat peminatnya. 


“Proses pembikinan album ini merupakan yang paling sukar saya pernah lalui, dan saya hanya mahu yang terbaik dan sempurna untuk anda semua mendengarkannya,” jelas Yuna dalam entri yang sama. 

Sementara itu, Yuna turut menyatakan kepada peminatnya yang sudah membeli tiket untuk menunggu pihak konsert jelajah menghubungi mereka. 

Dalam pada masa yang sama, Yuna turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sabar menunggu konsert jelajah ini dan memohon maaf diatas segala kesulitan. 

“Saya berjanji kepada anda semua saya akan buat yang terbaik dan akan datang ke Eropah dengan muzik baharu, semangat dan persembahan yang lebih baik. Sayang anda semua!".

Penyanyi, Yuna atau nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai turut pernah bekerjasama dengan bintang Hollywood seperti Usher, Jhene Aiko, DJ Premier dan juga G-Eazy dalam menghasilkan lagu-lagunya sebelum ini.