Bekas Tunang Remy Ishak, Ezza Yusof Buka Buku Baharu


Ezza Yusof tampil bersuara, buka buku baharu


By Syafiqah Azman

Lebih kurang lima hari yang lalu, pelakon Pujaan Hati Kanda, Remy Ishak telah bersuara mendedahkan statusnya yang kembali solo setelah membuat keputusan untuk memutuskan tali pertunangan bersama tunangnya, Ezza Yusof. 

BACA: Remy Ishak Akui Putus Tunang Kerana Tak Sedia Berumahtangga

Terbaru, usahawanita jenama kasut 2Morrow, Ezza Yusof tampil bersuara dengan memuat naik satu entri di laman sosial Instagram menyatakan bahawa bersempena dengan hari lahirnya hari semalam (Ahad), dia ingin membuka buku lembaran hidup baharu.  


“Alhamdulilah, Selamat Hari Lahir buat diri ini. Mari mulakan hari istimewa ini dengan tenaga yang baru. Insha Allah, bermula hari ini, saya akan berhenti dengan cerita lama dan membuka buku baharu,” tulisnya di kapsyen tersebut. 

Ezza, 36, turut menyatakan rahsia untuk berubah adalah dengan memberi tumpuan kepada diri sendiri dan tidak bergaduh mengenai perkara lepas serta membuka buku baru. 

Terdahulu, Remy mendedahkan perpisahan yang sudah berlaku sebulan yang lalu bukanlah disebabkan kehadiran orang ketiga seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. 

Sebaliknya, Remy sendiri berpendapat bahawa dirinya masih belum bersedia untuk menjadi suami. 

Orang kata kalau tak bersedia jangan di paksa. Takut nanti jadi lebih melarat, betul tak? Lebih baik mereka berdua muhasabah diri dan fikir masak-masak mengenai perkara ini sebelum mereka berkahwin terlebih dahulu. 

Sementara itu, Ezza turut mengingatkan dirinya bahawa segala perkara yang berlaku ke atasnya mempunyai sebab tertentu. 

“Tiada perkara yang boleh menghalang saya dan tiada siapa yang boleh memperlahankan apa yang telah saya usahakan selama ini. Sentiasa ingat semua benda yang berlaku ada makna di sebaliknya,” tambahnya lagi. 

Dalam entri yang sama, Ezza berkongsi rasa terujanya ingin mengeluarkan koleksi baharu bagi jenama kasutnya itu. 

Pada Mei 2017 yang lalu, Remy dan Ezza atau nama sebenar Roszalisa Yusof telah mengikat tali pertunangan dan setelah dua tahun mereka berdua mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan tersebut.