Kenaikan gaji minimun tidak beri impak kepada kos hidup tinggi - PM


PM Tun Dr Mahathir Mohamad - Pix from Google


By Nadhirah Sofea Rashid

Ramai berpendapat sekiranya gaji minima dinaikkan ia dapat menyelesaikan masalah kos hidup yang kian meningkat sekaligus dapat meningkatkan kuasa beli dalam kalangan pengguna.

Berbeza pula pandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat gaji minima tidak boleh dinaikkan.

Beliau berkata demikian sebab kenaikan tersebut akan menyebabkan penambahan kos pengeluaran dan harga barangan.

“Apabila kita naik gaji bukan sahaja bawah gaji minimum kepada gaji minimum, tetapi yang ada di atas juga perlu dinaikkan. Maka kos keluaran dan kos khidmat akan meningkat.

“Apabila kos keluaran dengan kos perkhidmatan naik, maka barangan yang dijual juga akan naik harga dan itulah yang berlaku kepada kos sara hidup apabila kita naik gaji,” katanya.

Tegasnya apa yang perlu dibuat sebaliknya adalah menambahkan kecekapan dan disiplin dalam kalangan pemerintahan kerajaan sekarang. 

Dr Mahathir berkata walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah dihapuskan, namun kenaikan harga barang masih lagi berlaku berikutan tindakan ‘orang tengah’ yang sesuka hati menaikkan harga.

Susulan itu, katanya kementerian berkenaan kini sedang meneliti usaha-usaha yang boleh dilakukan dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Jan 1 tahun ini amat bermakna bagi pekerja sektor swasta kolar biru atau gred bawahan kerana ia tarikh penguatkuasaan pelaksanaan gaji minimum RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam.

Ini kerana buat julung kalinya dalam sejarah negara, pelaksanaan kadar gaji minimum seragam dikuatkuasakan di seluruh negara.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,100 mulai Jan 1 dibuat selepas menimbang syor-syor yang diberikan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.

Penyeragaman gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun ini terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.