Graduan kecewa ditindas


Istiadat Konvokesyen UiTM - Gambar daripada Googlee


By Nadhirah Sofea Rashid

Graduan kaum India dan perempuan bertudung adalah antara kumpulan yang paling tertindas dalam proses pengambilan pekerja di sektor swasta, menurut kajian pusat penyelidikan swasta Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS).

Untuk menyelami situasi ini, Youth Connect bertanya terus kepada graduan UiTM Shah Alam semasa Istiadat Konvokesyen yang ke 90nya.

Graduan pengurusan perniagaan, Nurin Qaisara Hisham, 25, dari Melaka mengeluh sedih apabila telah pergi banyak temuduga tetapi masih tidak berjaya.

"Saya telah hadir hampir 10 temuduga dan kebanyakkan mahukan graduan berbangsa Cina. Saya datang dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk temuduga tersebut.  Saya terfikir juga kalau nak Cina kenapa panggil saya untuk ditemuduga?

"Saya betul-betul tengah menganggur sekarang. Kadang-kadang sedih tak dapat nak bantu mak ayah.

"Ramai claim graduan sekarang malas nak cari kerja. Bagi saya, kami sedang berusaha untuk mendapatkan pekerjaan. Ada juga yang cakap kita memilih sangat. Ini bukan 1980 yang kita masih boleh terima RM1,000 sebagai gaji," katanya.

Nurin juga menambah bahawa kebanyakkan iklan jawatan kosong memerlukan calon mahir berbahasa Mandarin.

Seorang lagi graduan pengurusan perniagaan, Addurah Liana Nasir, 25, menzahirkan rasa kecewa apabila dia pernah mengalami pengalaman pedih apabila tidak diterima kerja hanya kerana penampilan.

"Saya pernah pergi satu temuduga dekat satu syarikat besar dalam Malaysia. Saya hampir nak dapat kerja tu tapi gagal sebab saya pakai tudung.

"Mereka (majikan) mengatakan yang mereka nak terima saya untuk job tu tapi saya kena buka tudung. Saya tolaklah, apa lagi kan?

Addurah percaya dengan kerja keras pasti akan dapat pekerjaan yang sesuai tanpa sebarang diskriminasi.

"Saya tak kisah tak dapat kerja tu. Saya percaya ramai lagi majikan diluar sana yang tidak memandang enteng dekat wanita bertudung," katanya.

Mariah Syakirah, 24, juga seorang graduan pengurusan perniagaan mempunyai pendapat yang sama dengan Addurah dan Nurin.

"Saya rasa sekarang ni makin susah kita sebagai wanita bertudung nak dapat pekerjaan. Kalau orang lain berusaha dua kali ganda, kita kena tiga kali ganda. Mindset racist macam ni perlu dihapuskan," ujarnya. 

Mariah percaya bahawa graduan tidak memilih pekerjaan sebaliknya keadaan masa kini yang menyebabkan lambakan pengangguran.

Graduan sains dan komputer, Muhammad Kusyairi Halim, 26, berjaya mendapat pekerjaan selepas menghadiri beberapa temuduga selepas empat bulan tamat pembelajaran.

"Cuma itulah, kerja saya sekarang ni langsung tak ada kena mengena dengan ijazah saya. Tapi dalam masa empat bulan tu macam-macam yang saya kena lalui.

"Ada sekali tu saya datang temuduga dengan kawan saya, berbangsa Cina, degree sama dengan saya, cuma dia universiti lain dan pandai cakap Mandarin. Jadi, memang dia lah yang dapat kerja tu," kata Kusyairi yang kini berkerja sebagai seorang kerani di Shah Alam.

Graduan kejuruteraan kimia, Nur Siti Raihana Hamid, 24, berkata kebanyakkan temuduga yang dihadirnya mahukan calon lelaki.

"Saya tak pasti adakah disebabkan saya seorang wanita atau badan saya yang sedikit gemuk ni punca saya menganggur.

"Saya percaya bentuk penindasan ini berlaku di mana-mana. Kena teruskan berusaha," katanya.

Bercanggah dengan kepercayaan ramai, graduan sebenarnya tidak memilih pekerjaan.

Banyak perkara yang telah menyebabkan mereka masih menganggur.

Tahun 2018 merekod lebih 20% daripada 240,000 graduan yang tidak mempunyai pekerjaan selepas enam bulan tamat belajar.

Ramai berpendapat kekurangan kemahiran penyumbang kepada masalah ini, tetapi kajian telah membuktikan sebaliknya.

Di manakah tunjang permasalahan ini?

Perlukah graduan kita mahir dalam bahasa Mandarin yang sama sekali bukan bahasa ibunda mereka?

Atau satu perombakan sistem perlu dilakukan dalam syarikat-syarikat swasta?

Walaupun program seperti SL1M dikatakan dapat membantu graduan mendapatkan kerja, ia hanya bertahan sehingga enam bulan dan majikan mempunyai kuasa untuk tidak menerima graduan sebaik SL1M tamat.

Masalah ini telah berulang kali didebat dan dibincangkan. Namun, hasilnya belum dapat kita ketahui.

Apa kata anda?