Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Pamer Tauladan Hikayat Rakyat


Upin bersama Mei Mei dan Jarjit di dunia khayalan, Inderaloka


By Nabil Rahim

Genre: Pengembaraan, keluarga, fantasi

Pengarah: Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim

Tarikh Tayangan: 21 Mac 2019

Durasi: 1 Jam 40 Minit

Dah tiba musim cuti sekolah ni, mesti ibu bapa fikir filem yang sesuai untuk dibawa bersama anak-anak di pawagam. Jangan risau, sudah semestinya filem animasi yang paling ditunggu-tunggu tahun ini, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal! 

Bukan setakat kanak-kanak sahaja yang teruja, sambutan peminat dewasa pun tidak kurang hebatnya. Manakan tidak, siri animasi tempatan sangat mendapat perhatian peminat luar negara, boleh dikatakan animasi Malaysia hampir setanding dengan animasi antarabangsa. Bangga kan! 

Kali ini team Youth Connect akan mengulas filem animasi terbaharu karya Les’ Copaque, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.

Filem ini mengisakan Upin, Ipin dan rakan-rakannya terjumpa sebilah keris lama di stor rumah Tok Dalang, iaitu Keris Siamang Tunggal. Keris itu pada asalnya milik Raja kerajaan indah, Inderaloka, tetapi muncul Raja Bersiong untuk merebut keris tersebut. 

Bagi menjaga keamanan dan keharmonian Inderaloka, keris sakti itu dibawa jauh dari bumi Inderaloka, dan tersimpan di Kampung Durian Tunggal. 

Selepas Upin & Ipin membaca kalimah terukir pada keris tersebut, terbuka satu portal yang menarik kanak-kanak itu ke tanah Inderaloka. Maka, bermulalah pengembaraan yang penuh misteri tanpa mereka sedari.


Inderaloka dihuni oleh masyarakat Melayu lama, dan kebanyakan karakter baharu merupakan watak dari kisah dongeng rakyat. Sepanjang perjalanan mereka disana, mereka bertemu Mat Jenin, Pak Belalang, Bawang Merah, Mak Deruma (Mak Si Tanggang) dan pelbagai watak dongeng yang lain. 

Watak-watak baharu ini mempunyai kisah mereka yang tersendiri yang membuatkan filem ini lagi menarik dari awal hingga ke penghujungnya. Kalau filem ‘Shrek’ berkisahkan cerita dongeng barat, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal berjaya mengangkat tema hikayat Melayu lasik dalam filem ini. 

Penonton dapat menyingkap semula lipatan sejarah Melayu lama melalui penceritaan watak-watak yang sarat dengan kisah tauladan. 

Menurut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerusi akaun Instagramnya, filem ini berjaya memaparkan kebudayaan dan nilai murni masyarakat Melayu melalui kreativiti penceritaan. Bukan itu sahaja, terdapat juga babak ‘tribute’ filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang membuatkan penulis tersenyum lebar seketika.


Plot cerita dalam filem ini juga tidak kompleks, malah mudah difahami oleh kanak-kanak. Maka tidak susahlah bagi anak kecil untuk mengikuti perjalanan cerita hingga ke akhir filem. Terdapat juga elemen komedi yang membuatkan riuh satu panggung dengan ketawa kanak-kanak. 

Aksi yang dipamerkan juga mantap, lagi-lagi dengan aksi silat Mat Jenin menentang Reriang. Bukan setakat itu sahaja, elemen sedih juga berjaya menyentuh perasaan penulis. Memang lain macam sayu dalam animasi ni, dah macam Disney pula. Pengajaran yang dipaparkan juga meninggalkan mesej yang mendalam. Tidaklah menonton kosong sahaja, tapi ada nilai murni yang boleh kanak-kanak pelajari. Ingat ya adik-adik!

Satu perkara yang penulis sangat tertarik dalam filem ini adalah aspek muziknya. Meremang bulu roma dengar muzik latar dalam setiap babak. Rupa-rupanya muzik latar dalam filem ini dimainkan oleh kumpulan orkestra di Boston, Amerika Syarikat. 

Patutlah rasa macam tonton filem Hollywood! Ditambah pula dengan alunan muzik tradisional seperti gambus dan rebana, memang feel kampung habis! Dilengkapi pula dengan sistem bunyi Dolby Atmos, setiap bunyi jelas didengari di sekeliling panggung. 

Lagu tema filem ini pun tidak kurang hebatnya. Suara penyanyi kelahiran Brunei, Fakhrul Razi dan si cantik jelita Ernie Zakri membuatkan penulis dibuai emosi menerusi lagu ‘Keris Sakti’ dan ‘Buai Laju-laju’. Bukan setakat menyanyi, mereka berdua turut mengalih suara watak ‘Nakhoda Ragam’ serta ‘Bawang Putih & Bawang Merah’. Pemilihan artis yang baik buat filem ini!


Pujian juga harus diberikan kepada grafik dan animasi filem ini. Setiap mimik muka, lenggok badan dan bahasa tubuh setiap watak nampak realistik, termasuklah latar tempat dan suasana dalam filem. 

Maklumlah filem ini mengambil tempoh 5 tahun untuk dihasilkan, dan kos pembikinannya kira-kira RM20 juta! Barangkali ini filem paling mahal Malaysia pernah hasilkan. 

Menurut Penerbit Eksekutif Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi yang juga penyumbang suara bagi Tok Dalang, pihak produksi memerlukan kepakaran teknologi luar negara untuk mencapai tahap yang terbaik untuk animasi ini.

Bagi melengkapkan proses penyuntingan, mereka menggunakan teknologi di Hong Kong, manakala, aspek audio pula di Thailand dan alih suara Bahasa Inggeris dirakam di Los Angeles. 

Bukan itu sahaja, Burhanuddin turut berkata filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal ditayangkan di Indonesia, Brunei, Singapura, Vietnam, China, Taiwan dan Jepun. 

Walaupun sukar untuk menembusi pasaran China dan Jepun, namun usaha tetap diteruskan. Di Malaysia sahaja sudah mengutip lebih RM5 Juta selepas 4 hari tayangan. 

Jika mendapat sambutan hangat di rantau Asia, tidak mustahil filem ini dapat menandingi kutipan Munafik 2 tahun lalu yang berjaya mengutip lebih RM40 juta.

Namun, ada beberapa persoalan yang masih bersarang di fikiran penulis, dan tidak dijawab dalam filem ini. Kenapa keris tersebut diserahkan kepada Tok Dalang? Kenapa Upin & Ipin berkuasa memegang Keris Siamang Tunggal? Adakah ibubapa mereka kerabat diraja Inderaloka? 

Makin banyak fikir, makin banyak soalan yang timbul. Tidak diceritakan kisah disebalik penyerahan keris sakti itu. Mungkin ada sekuelnya nanti, siapa tahu. Harap-harapnya adalah.

Akhir kata, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bukan setakat filem kanak-kanak, tetapi sebagai hiburan keluarga yang penuh dengan permainan emosi dan nilai murni. Filem yang sangat sesuai untuk ditonton di pawagam sekarang! Tapi anda jangan keluar awal selepas filem tamat, ada babak post-credit. Mungkin Les’ Copaque akan ada cinematic-universe tersendiri, menggabungkan siri animasi Pada Zaman Dahulu, Geng dan Puteri. Mana tahukan?

Rating: 8.0 / 10

P/S: Selepas tengok Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, makin tak sabar pula ingin tonton Boboiboy The Movie 2 dan Ejen Ali: The Movie. Inilah bukti animasi tempatan sudah serlahkan magis tersendiri! Betul tak Ipin? 

Betul betul betul!