Justin Bieber Back Up Isteri, Bidas Komen ‘Haters’ di Instagram


Justin Bieber bersama isteri, Hailey Baldwin Bieber


By Syafiqah Azman

Bintang pop terkenal Hollywood yang pernah mencatat sejarah dengan album ‘Purpose’ dalam ‘Guinness World Records 2017’ membidas komen ‘haters’ di Instagram semalam. 

Menerusi ruangan Instagram story, Bieber, 25 memuat naik satu entri dengan meminta orang ramai agar berhenti menghantar mesej benci dan negatif kepada isterinya, Hailey Baldwin Bieber. 


Salah satu pengguna Instagram dengan nama @jaileyisajoke meninggalkan komen negatif menyatakan bahawa Bieber tidak mencintai Hailey. 

“Anda tidak mencintai Hailey dan hanya berkahwin bersamanya kerana ingin kembali semula bersama Selena Gomez. Lagi pun Hailey pernah meniduri @shawnmendes dan merupakan seorang yang rasis,” tulis individu terbabit. 

Komen @jaileyisjoke itu ternyata  menarik perhatian ramai termasuklah Bieber sendiri sehingga membuatkan penyanyi bagi lagu ‘Never Say Never’ itu tampil membidas komen tersebut. 


“Anda merupakan seorang yang tidak matang dan sama sekali tidak siuman kerana membuat satu akaun hanya untuk menabur kebencian kepada isteri saya,” tulis Bieber. 

Tambahnya lagi, dia mengakui yang dia pernah mencintai Selena Gomez dan penyanyi tersebut akan sentiasa ada di dalam hatinya akan tetapi Hailey adalah cinta hatinya dan isterinya itu merupakan perkara terindah yang pernah terjadi di dalam hidupnya. 

Biasalah peminat ‘hardcore’ sebegini sering tidak boleh menerima hakikat bahawa idolanya itu mempunyai kehidupan peribadi dan boleh membuat sebarang keputusan dalam hidupnya. Takkan la sampai perkahwinan selebriti pun peminat nak sibuk juga, betul tak?

Tidak dinafikan, rata-rata peminat Bieber sendiri tidak menyukai Hailey menjadi isterinya yang sah dan menginginkan Bieber kembali kepada Selena. 


Sementara itu, dalam komen yang sama Bieber mengingatkan peminatnya yang lain agar berhenti menyebarkan perkara negatif tentang isterinya. 

“Kalau anda tiada perkara baik untuk diperkatakan, lebih baik berdiam diri sahaja,” tulisnya lagi. 

Terdahulu, pasangan selebriti popular ini telah mendaftarkan perkahwinan mereka pada 13 September lalu dan pada 15 November kedua-duanya telah membuat pengumuman rasmi mengenai status hubungan mereka. 

Apa pun, kepada peminat di luar sana, janganlah terlalu obses terhadap selebriti atau idola anda. Mereka pun manusia biasa dan memerlukan privasi dalam hubungan mereka.