Ella Berjaya Bikin Lagu Melayu Asli Segar dalam Nafas Genre Rock


Ratu Rock Negara, Ella ketika di konsert Ella Unplugged Jumaat lalu


By Nadia Nasaruddin

Ratu rock negara, Ella kembali menggegarkan pentas nyanyian dengan sedikit kelainan melalui alunan lagu-lagu asli irama Malaysia. 

Konsert Ella Unplugged in Kuala Lumpur yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya telah membuktikan versatiliti dan keunikan Ella yang mampu membawakan lagu-lagu irama asli meskipun lebih dikenali dengan genre rock. 


"Lagu-lagu asli ini sudah ada ratusan tahun, tapi masih sedap untuk didengar, bukan?" katanya, sebelum mendendangkan lagu popular Tak Seindah Wajah. 

Mengakui bahawa lagu tersebut merupakan antara lagu kegemarannya, Ella berhasil mengalunkan lenggok lagu nyanyian asal oleh Tan Sri SM Salim itu dengan sempurna. 


Peminat semakin teruja apabila Ella menyanyikan lagu hits beliau, Retak dengan gaya irama Malaysia sambil menari ditemani sekumpulan penari cilik. 

Tambah menyeronokkan, kumpulan penari tersebut turut menari tarian asli mengikut rentak lagu Nabila Razali , Pematah Hati yang didendangkan oleh suara 'husky' Ella. 

Sebelum itu, beliau menghiburkan peminat dengan konsep 'unplugged' dengan nyanyian lagu-lagu popularnya seperti Esok Lusa Selamanya, Layar Impian, Tiada Tangis Lagi dan Rama-Rama. 


Suaminya, Azhar Ghazali turut muncul mengadakan persembahan dengan duet Biarkan Mendung Terus Berlalu bersama Ella. 

Ella membuktikan kekuatan vokalnya ketika segmen 'Rock n Roll' diiringi pemain muzik profesional seperti Edry Hashim dan Lord Lokman. 

Antara lagu genre rock yang menggegarkan Panggung Sari malam itu adalah Permata Biru, Bayangan, Kesal, Puteri Kota dan Pengemis Cinta. 

Ella turut menyanyikan lagu-lagu dari album terbarunya seperti Peace Love Rindu dan Sujud.